Categories:

    Ma'al Hijrah dan Azam Baru


    Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431. Diam tak diam tahun baru datang lagi walaupun terasa baru sahaja membaca doa akhir dan awal tahun yang lalu. Aku percaya masih banyak azam atau cita-cita yang masih belum tercapai termasuklah diriku sendiri. Tahun baru hijrah pada tahun ini jatuh pada 18 haribulan December 2009.

    Masih banyak azam dan impianku yang belum terlaksana walaupun berbagai usaha yang telah dilakukan. Mungkin aku memerlukan lebih banyak kesabaran dan kesungguhan kerana sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Barangkali juga usaha masih belum mencukupi menyebabkan doa masih belum di makbulkan. Namun apa yang penting aku bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana masih diberikan peluang untuk menghirup udara yang diberikan percuma sehingga ke hari ini.

    Seperti tahun-tahun yang lalu, aku menanamkan azam, ingin menjadi seorang insan yang lebih baik, memperbaiki diri dari segala segi termasuklah mempertingkatkan kualiti ibadah selain menanamkan semangat untuk mempertingkatkan keimanan. Sememangnya aku perlu melakukan penghijrahan dari segi rohani dan jika perlu jasmani juga. Kalau boleh aku tidak mahu melukakan hati orang-orang yang aku sayangi. Dan yang lebih penting aku mahu mencari keredhaanNya dan ingin lebih mendekatkan diriku padaNya.

    Hidup ini terlalu singkat.

    Umur meningkat dari tahun ke tahun tanpa disedari. Jika diukur apalah sangat amalan yang dilakukan. Azam tahun baru tetap di sematkan namun azam itu sendiri bukanlah sekadar dihati, tetapi harus diterjemahkan melalui perbuatan dan disusuli dengan doa. Apa yang penting sebagai umat Islam tidak semestinya kita hanya menunggu dan menanamkan azam pada awal tahun baru sahaja kerana sememangnya kita dituntut untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik dari hari ke hari.

    Musahabah diri tidak semestinya menunggu pada awal tahun. Tanamkan azam untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam. Tidak ada salahnya jika memainkan semula wayang perlakuan kita seharian tadi dikala meletakkan kepala di bantal yang empuk. Fikirkan semula dan perbaiki perlakuan kita yang tidak kena demi untuk menjadikan diri kita manusia yang lebih baik.

    Kegagalan mencapai impian atau azam yang lalu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak terus berazam. Hanya cara dan menghayati azam yang kita buat itu yang perlu kita perbaiki. berilah waktu untuk diri sendiri demi mencapai azam yang kita tanamkan disusuli pula dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Yakinlah, apabila kita memulakan langkah untuk mencapai sesuatu demi kebaikan, Allah pasti akan membantu walaupun hasilnya agak berbeza dan tidaklah seratus-peratus seperti yang kita mahukan kerana Allah Maha Mengetahui mana yang lebih baik untuk kita.


    2 Responses

    1. Year in, Year out ttp buat azam tapi tanpa disedari fulfill ke tidak azam tu. Yang pasti kita tetap berazamkan tiap2 hari. Insyaallah sooner or later dengan izin Allah tercapai tu apa yang u azamkan.

    2. Salam...itu yang i risaukan. azam tahun lalu belum tercapai dan ni azam lagi. anyway i hope azam tahun baru ni akan tercapai walaupun tidak sepenuhnya...insyaalah