Categories:


    Perjalanan Umrahku..







    Penghujung Febuari tahun 2009, tahun yang menyimpan kenangan manis bila aku dipilih menjadi tetamu Allah s.w.t. Walaupun terpaksa menempuh berbagai dugaan diawalnya sehinggalah aku tiba di Tanah Suci. Berkat kesabaran, kesungguhan dan demi membawa harapan yang terlalu tinggi ku beranikan diri agar dapat aku sujud didepan Kaabah.

    Perjalanan selama 14 hari itu benar-benar memberi keinsafan pada diri dan menyedari hakikat kehidupan sebagai hamba, malah memberi kesedaran bahawa kehidupan manusia mempunyai tanggungjawab, tujuan malah matlamat yang harus di penuhi. Aku memohon agar Tuhan mempermudahkan perjalanan umrahku.

    Inilah perjalananku yang pertama, meninggalkan tahah air yang beribu batu jauhnya, pergi dengan semangat dan keinsafan, malah membawa harapan yang terlalu tinggi, ingin memohon dan merayu agar memperkenankan hajatku dan yang lebih penting segala amalanku diterima Allah s.w.t.

    Sepanjang perjalanan benar-benar meyentuh hati dan dengan tiba-tiba hatiku bagai di ketuk untuk bermuhasabah diri. Perjalanan yang memakan masa selama 6 jam dari Lapangan Terbang Jeddah ke bandar Taif dengan laluan yang kering, berbukit batu lalu aku terbayang bagaimana agaknya keadaan dizaman kebangkitan Islam, menghadapi keadaan muka bumi yang berbatu-batu, jika siangnya panas terik dalam perjalanan yang amat panjang yang memungkinkan sebuah perjuangan Rasulullah serta para sahabat.



    Perasaan sayu dan gembira tak dapat ku gambarkan setelah memasang niat ihram menuju ke Makkah Mukarammah pada hari keduanya. Tak sabar rasanya ingin melihat Kaabah dengan mata dan kepala ku sendiri. Terpaku...Subhanallah......betapa indah nya Kaabah didepan mataku...Ya Allah aku datang kepada Mu...aku datang sebagai tetamu Mu Ya Allah...aku bersyukur di berikkan rezeki untuk sampai ke sini walaupun terlalu banyak rintangan yang aku hadapi pada awalnya. Mata ku terpaku melihat keindahan Kaabah, hati menjadi beku seketika dan pergerakan seolah-olah terkunci. Mengalir air mata mensyukuri rezeki yang diberikan Allah s.w.t di depan mata. Terima kasih Ya Allah.....tidak akan ku persiakan peluang yang kau berikan kepadaku kali ini. Aku sujud syukur dan dapat melakukan umrahku yang pertama pada hari yang kedua ini.

    Keesokkannya aku sekali lagi mencari teman untuk keluar dari Tanah Haram dengan menaiki van untuk berniat ihram untuk melakukan umrah yang ke dua. Aku habiskan banyak masa di Masjidil Haram dengan mengerjakan tawaf sunat, beriktikaf dan bersembahyang. Aku sujud di depan Kaabah.... Inilah saat yang aku nanti-nantikan. Aku merasakan satu kebahagian yang tak pernah ku kecapi selama ini. Aku ingin sentiasa berada di sini ya Tuhan, menatap Baitullah, menghabiskan masaku dengan bersembahyang, mengaji, berdoa dan sujud di depan Kaabah mu, itulah niat dan harapan ku yang membolehkan aku sampai ke sini.

    Airmataku tidak ada nilainya disini....saban hari seawal jam 2 atau 3 pagi, aku sudah berada di depan Baitullah, memohon keampunan, mengharapkan magfirahNya, merayu agar diperkenankan hajatku sehinggalah habis mengerjakan solat subuh. Perasaan bahagia ini tak pernah ku alami, tidak ada perasaan letih, tak kenal erti penat dan yang anehnya aku bagai tak pernah rasa mengantuk walaupun bangun seawal itu walaupun waktu tidurku tak pernah mencukupi. Begitulah hari-hari yang ku lalui di Makkah sehingga umrah ku yang kelima dapat ku kerjakan

    Alhamdulillah aku juga sempat mencium Hajarul Aswad sebanyak tiga kali walaupun penuh dengan halangan yang kadangkala hampir mematikan semangatku. Di multazam ku lekatkan pipiku, ku panjatkan doa dan merayu pada Tuhan agar diperkenankan hajatku. Ya Allah sesengguhnya Engkau yang maha tahu apa yang ku hajati, hajat yang kubawa jauh dari tanahairku...maka ku mohon kau kabulkanlah hajatku Ya Tuhan..

    Kenangan juga terpahat dihati bila mendaki Gua Hiraq sekitar jam 10 malam waktu Saudi yang pastinya. Hati begitu tersentuh dan kagum bila mengingatkan betapa tabahnya Siti Khatijah mengharungi dugaan mendaki bukit ini demi suami tercinta.
    Mampukah aku sebagai manusia biasa menjadi semulia Siti Khatijah. Pengorbanan yang tiada tolok bandingnya.

    Hari berikutnya sempat juga aku melawat tempat-tempat bersejarah disekitar bandar Makkah seperti Jabal Tsur, Jabal Nur selain Jabal Rahmah, tempat yang ingin sekali aku lawati. Jabal Rahmah tempat pertemuan semula Nabi Adam a.s dan Hawa setelah sekian lama terpisah.

    Aku tidak sempat menunaikan umrahku yang ke enam kerana terganggu oleh demam, malahan keesokan harinya aku terpaksa meninggalkan Makkah Mukaramah menuju ke Madinah al Munawarah. Perjalanan yang agak panjang merentasi bukit yang penuh dengan batu-batuan dan kering kontang.

    Sewaktu melangkah masuk ke perkarangan Majid Nabawi, jantung berdegup kencang, rasa kekaguman dan kecintaan terhadap Rasulullah semakin kuat. Menziarahi raudah tempat antara mimbar dan rumah baginda adalah kenangan yang tak mungkin dapat ku lupakan.
    Aku menghabiskan waktu-waktu ku di masjid itu sebelum berangkat pulang ke tanah airku.

    Kenangan indah dan segala pengalamanku di Makkah al Mukarammah dan Madinah al Munawarah kekal di sanubariku. Aku berangkat ke Labangan Terbang Madinah pada hari yang ke tigabelas. Semoga umrahku diterima Allah s.w.t dan semoga aku dijemput menjadi tetamuNya lagi dan lagi....

    2 Responses

    1. Salam Dura,

      Each time klu I baca art Makkah & Madinah nih, teruja tul nak ke sana lagi. Syahdu nye tempat tu.

    2. salam, how nice kalau dapat pergi umrah setiap tahun kan...