Categories:


    Kehidupan Hari Ini dan Semalam - untuk diriku


    Sewaktu kita membuka mata hari ini, jangan terlalu yakin dapat melihat matahari pada esok hari. Bersyukurlah kepada Tuhan kerana masih diberikan peluang untuk melihat keindahan ciptaanNya dan seterusnya dapat bernafas untuk hari ini. Sesungguhnya ini adalah kerana Tuhan masih sayangkan kita kerana diberi peluang untuk hidup dan membolehkan kita memperbaiki diri berbanding hari semalam.

    Semalam telah berlalu, biarkanlah ia pergi. Jangan ditangisi hari semalam kerana ia tidak mungkin datang kembali. Namun bersyukur lah kepada yang memenuhi hari semalam dengan amalan kerana esok hari belum tentu kita dapat mengulangi lagi. Jalani hidup sebaik mungkin dan manfaatkan hari ini sebaik-baiknya. Penuhi dengan amalan dan tanggungjawab terhadap orang-orang yang kita sayang. Sesungguhnya hari esok belum tentu kita dapat mengembirakan meraka.

    Hari ini adalah anugerah dari Tuhan, tanamkan tekad, perbaiki diri sebaik mungkin. Hiasi hari ini dengan amalan-amalan, membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran. Renungi kehidupan ini dengan sepenuh hati. Kehidupan hari ini adalah kerana limpah kasih sayangNya. Tanamkan kebaikan sebanyak mungkin untuk hari ini, mintalah keampunan dari Allah s.w.t dan persiapkan diri untuk pergi jauh (menghadapNya). Lalui hari ini dengan penuh kebahagiaan, tenang dan redha dengan apa yang telah dikurniakan.

    Dengan mempersiapkan diri dan melakukan perkara-perkara itu, kita akan sentiasa tenang dan bahagia. Seandainya kita diberikan peluang untuk menikmati segelas air yang sejuk dan nyaman, mengapa harus kita bersedih atas air masin yang telah kita minum semalam? Tanamkan dalam diri bahawa kita telah diberikan peluang untuk hidup sehari lagi, iaitu hari ini mungkin juga esok dan seterusnya.

    Hidup ini adalah sebuah perjalanan, diuji untuk melihat sejauh mana kekuatan dan keimanan. Sejauh mana kita mengutamakan hawa dan nafsu atau mengawal diri dari diruntun oleh kemanisan dan keindahan duniawi. Kadangkala kita dipesongkan oleh hawa nafsu dan godaan sehingga kita lupa apa yang kita pertahankan selama ini. Nafsu yang kadangkala membuatkan kita melanggar batas-batas yang sepatutnya dan membuatkan mata hati kita kabur dan silap menilai kehidupan dunia ini.

    Maka, perbanyakkan amal ibadat dan jauhkan diri dari maksiat. Sentiasa perbaiki dan musahabah diri. Isilah hidup dengan amal-amal bakti sebelum sampai ajal yang kita sendiri tidak ketahui masa datangnya.

    - ini adalah peringatan untuk diriku sendiri, mungkin juga untuk orang diluar sana, kerana aku selalu takut akan bisikan syaitan yang membolehkan aku lari dari landasanku....


    0 Responses