Categories:


    KEHILANGAN

    Setiap manusia akan merasai kesedihan tatkala ditinggalkan orang yang kita sayang. Ada yang merasakan terlalu sedih, kecewa dan ada yang merasakan hidup tidak bermakna lagi apatah lagi jika kehilangan itu melibatkan seseorang yang pergi buat selama-lamanya, tak akan kembali lagi.

    Seorang dari rakanku baru sahaja mengalami kehilangan ibu yang tersayang. Daripada tulisannya dan luahan hatinya aku juga dapat merasakan kesedihan yang dialaminya apatah lagi di bulan Ramadhan ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibunya dan semoga dia tahu bahawa orang yang kita sayang tak sepenuhnya milik kita, sebaliknya ia milik Sang Pencipta, bila tiba waktunya pulanglah ia...

    Bagi aku, kehilangan adalah merupakan satu dugaan dalam hidup kita tidak kira siapa pun ia samada kehilangan ibu, ayah, suami, isteri, anak atau mungkin juga kekasih. Kehilangan sesuatu yang berharga atau seseorang yang kita sayang adalah terlalu menyakitkan dan boleh membawa kepada kesedihan yang berpanjangan. Apatah lagi jika kehilangan itu kehilangan yang datang dengan tiba-tiba tanpa di duga.

    Kehilangan orang tersayang membuatkan kita merasakan hilangnya tempat bergantung, hilangnya tempat bermanja dan hilangnya tempat untuk kita berkongsi suka dan duka. Maka lenyaplah segala cita-cita untuk membahagiakannya. Kehilangan orang yang kita sayang juga membuat kita berduka lara, manjadikan fikiran kacau dan kadang-kadang hilang pertimbangan diri apatah lagi bila perasaan diganggu oleh kenangan masa lalu.

    Maka apa yang perlu dilakukan apabila mengalami kehilangan adalah memohon pada Tuhan agar kita dikurniakan kekuatan untuk meneruskan hidup kita, memohon agar kita dapat menerima sebuah kehilangan. Sesungguhnya kita harus memahami bahawa setiap apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan. Dan waktu ini juga aku teringat akan kata-kata orang yang amat rapat dengan ku "kita harus terima apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita walaupun tidak seperti yang kita rancangkan, sesungguhnya DIA maha tahu apa yang terbaik buat kita. Setiap apa yang terjadi itu samada baik atau pun buruk sudah tersedia hikmah disebaliknya, maka kita harus redha dan berfikir akan hikmah yang baik adalah lebih baik daripada berfikir sebaliknya"

    0 Responses